KUCHING, 10 Oktober 2026 - Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Istiadat Perarakan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, di sini, pagi pada Sabtu.
Beliau tiba pada 7.50 pagi bersama anakanda Puan Dayang Norjihan, manakala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah binti Mohd Sanusi tiba pada 8 pagi.
Ketibaan TYT dan Toh Puan disambut dengan istiadat hormat diraja diikuti lagu Ibu Pertiwiku sebelum TYT memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama.
Istiadat diteruskan dengan laporan oleh Ketua Perbarisan Rapat Raksasa kepada TYT, diikuti pemeriksaan kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan.
Premier turut menyampaikan ucapan sempena sambutan itu bagi pihak Kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat, dengan merakamkan ucapan tahniah kepada TYT bersempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80.
Dalam ucapannya, Abang Johari menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan hidup dan jasa TYT, termasuk khidmat beliau dalam Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) ketika mempertahankan keamanan Sarawak daripada ancaman komunis.
Beliau turut menyifatkan institusi Yang di-Pertua Negeri sebagai sebahagian daripada struktur perlembagaan Sarawak yang melambangkan kesinambungan, kestabilan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.
Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek hari lahir TYT, laungan Dirgahayu, persembahan khas, tayangan video khas dan persembahan finale sebelum 107 kontinjen mengambil bahagian dalam acara berjalan lalu.
Istiadat turut menyaksikan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk semula ke padang untuk acara hormat diraja, diikuti lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku sebelum pasukan berkenaan keluar dari padang.
TYT dan Toh Puan kemudian meninggalkan majlis dengan diiringi Premier Sarawak. Istiadat yang berakhir pada 10.30 pagi itu merupakan antara acara utama Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.